Dua Anggota Parlimen Pembangkang Diperintah Keluar Dewan
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Dua anggota pembangkang Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dan Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) diperintah meninggalkan Dewan sehingga persidangan Dewan Rakyat hari Khamis selesai.
Tindakan itu dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas kedua-dua anggota Parlimen itu mempertikai keputusan Yang Dipertua yang dikatakan tidak memberikan laluan kepada Fong mencelah ketika perbahasan.
Ia bermula apabila Fong bangun dan mempersoalkan tindakan Pandikar Amin yang didakwa sejak semalam tidak memberikan peluang kepadanya untuk mencelah ketika perbahasan sedang berjalan, walaupun sudah beberapa kali meminta diberikan peluang itu.
"Saya ingin tahu mengapa saya sudah bangun sejak semalam tetapi tidak diberi peluang, adakah Pengerusi tidak nampak saya bangun bagi memberi peluang kepada saya untuk membangkitkan perkara yang dibahas.
"Jadi saya ingin tahu apakah kayu pengukur yang diguna oleh Pengerusi untuk menentukan siapa yang boleh berucap?" katanya.
Pertanyaan Fong itu dijawab Pandikar Amin dengan berkata: "Jawapannya singkat kepada Yang Berhormat...Saya tidak nampak".
Jawapan Pandikar Amin itu menyebabkan Fong berterusan bangun dan meminta penjelasan walaupun pada masa yang sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sedang menggulung perbahasan bagi pihak kementeriannya.
Pandikar Amin memberi amaran kepada Fong agar duduk tetapi ia tidak diendah anggota Parlimen itu dan ekoran itu, Pandikar Amin memerintahkan Fong keluar Dewan kerana mengingkari arahan Speaker.
Chong yang bangun untuk mempersoal keputusan Pandikar Amin terhadap Fong menyebabkan beliau turut diperintah meninggalkan Dewan.
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang meminta Pandikar Amin supaya pertimbangkan semula keputusan itu.
Pandikar Amin memohon semua anggota Parlimen agar tidak mempermainkan kuasa Speaker sambil menegaskan bahawa sebagai seorang Pengerusi yang diberi kuasa berdasarkan peraturan mesyuarat, beliau tidak boleh menarik balik sesuatu yang telah diputuskan.
"Ia tidak boleh ditarik balik, itu berkali-kali saya memberi amaran, jika ia dirunding dan ditarik balik, maka Speaker tiada kuasa lagi...Ia tidak wajar dilakukan.
"Jangan permainkan kuasa speaker, saya tidak tarik balik. Dengan itu Batu Gajah dan Bandar Kuching diarah keluar sehingga habis mesyuarat hari ini," katanya.
-- BERNAMA
Thursday, November 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment