Tuesday, November 18, 2008

Antara soalan dan jawapan Sidang Dewan Rakyat 17 Nov 2008

Antara Soalan asal sidang Dewan Rakyat 17 Nov 2008

1. Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Bin Haji Salleh [ Kalabakan ]
minta MENTERI PELAJARAN menyatakan semenjak Rancangan
Malaysia Ke-8 hingga Rancangan Malaysia Ke-9:-
(a) berapa banyakkah sekolah baru yang telah dibina di
negeri Sabah; dan
(b) berapa banyakkah projek ini yang dibina dengan kaedah
tender terbuka (negotiated), pilihan (selective) dan
pelantikan secara rundingan terus.

2. Dato' Zahrain Mohamed Hashim [ Bayan Baru ] minta MENTERI
SUMBER MANUSIA menyatakan memandangkan masih ramai
pekerja kilang yang berpendapatan kurang dari RM500 sebulan,
adakah Kerajaan berhasrat untuk membantu mereka ini dengan
menubuhkan tabung elaun saraan hidup (COLA).
3. Tuan Abd. Rahman bin Bakri [ Sabak Bernam ] minta MENTERI
PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI menyatakan :-
(a) adakah Kementerian menolong ataupun menjalankan
kerjasama dengan Dewan Perniagaan Cina dan India
dalam ekonomi terutamanya kaum Bumiputera; dan
(b) berapakah bilangan penerima atau yang telah berjaya
dibantu oleh pihak Kementerian.
4. Dr. Siti Mariah Binti Mahmud [ Kota Raja ] minta MENTERI DALAM
NEGERI menyatakan apakah perancangan untuk membanteras
eksploitasi (seks) wanita di dalam industri pengiklanan dan juga di
dalam bidang sukan.

5.Datuk Juslie Bin Ajirol [ Libaran ] minta MENTERI PEMBANGUNAN
WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan bagaimana
cara untuk menangani masalah pengemis yang semakin meningkat di
kalangan rakyat tempatan dan asing dan berapakah jumlah pengemis
yang ditangkap pada tahun 2005, 2006, 2007 dan 2008.

6. Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [ Padang Terap ] minta MENTERI
TENAGA, AIR DAN KOMUNIKASI menyatakan apakah faktor-faktor
yang diambil kira dalam penentuan struktur tarif yang baru dan bakal
dikenakan kepada pengguna air setelah model pelaksanaan aktiviti
sektor air yang baru dan pengambil alihan sektor air oleh Kerajaan
Persekutuan berjaya dilaksanakan.

7. Tuan Henry Sum Agong [ Lawas ] minta PERDANA MENTERI
menyatakan bilakah Pusat Latihan JAKIM yang sudah diluluskan di
Lawas akan dilaksanakan.

8.Puan Chong Eng [ Bukit Mertajam ] minta MENTERI DALAM
NEGERI menyatakan "trend" jenayah dalam negara keseluruhannya
dan negeri Pulau Pinang secara amnya untuk tiga tahun yang lepas
dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk mencegah
peningkatan indeks jenayah pada masa depan.

9. Datuk Nur Jazlan Bin Mohamed [ Pulai ] minta MENTERI
KEWANGAN menyatakan sama ada Malaysia sedang mengalami
kemelesetan ekonomi atau tidak. Sila jelaskan dengan terperinci.


SOALAN 1

SOALAN TAMBAHAN 1 (DITANYA OLEH KALABAKAN, BN)
Terima kasih kepada Menteri dari Kalabakan, Datuk Speaker. Semua 50 sekolah rendah dan menengah telah pun ada access komputer keseluruhannya. Satu-satunya kawasan Parlimen seluruh negara yang telah diberi kemudahan tersebut. Soalan tambahan saya yang pertama ialah, sepertimana yang telah dinyatakan oleh Menteri, perabot-perabot yang dibekalkan ke sekolah, seperti meja dan bangku tidak ada mutu. Di Sabah. sama ada Kementerian mengkaji semula kerana perabot-perabot yang dibekalkan ke sekolah hanya 3 bulan sahaja. Kualitinya tidak begitu baik. Kedua, sejauh mana kebenaran kenyataan bahawa banyak sekolah-sekolah khususnya di luar bandar dibina scale terlalu besar tanpa mementingkan kesesuaian hingga menjadi gajah putih. Ketiga, sekolah menengah Kalabakan, di mana tanah telah disediakan., sekolah menengah Pulau Sibatik, tanah telah disediakan. Bila agaknya dimulakan. Terima kasih.

DI JAWAB OLEH SEMBRONG, MENTERI
YB. Mengenai Kalabakan, jumlah peruntukan yang telahpun kita salurkan kepada kawasan YB berjumlah tujuh puluh juta tujuh ratus tiga puluh empat ribu dan empat ratus tujuh puluh lapan. Pusat access yang telah pun siap merupakan projek rintis, yang dijadikan contoh untuk kita perluaskan ke kawasan-kawasan lain. Berhubung dengan perabot, kita sedang berbincang dengan pihak Kementerian Kewangan di mana satu penyelarasan saya setuju, dari segi konteks kualiti perabot yang ingin dibekalkan kepada sekolah-sekolah kita. Tidak ada gunanya kita menyediakan sekolah-sekolah yang canggih, yang besar dan mewah tetapi dari segi pengisian khusus dalam konteks perabot tak dapat diselaraskan. Mengenai scale yang terlalu besar, itu merupakan pendekatan yang dilakukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dimana kita gunakan pendekatan design dan build. Itu tidak digunakan lagi di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 malah skop projek-projek yang telahpun di luluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 yang terpaksa dilihat semula kerana dengan kos barangan yang bertambah tinggi ke skop yang telah pun ditetapkan dahulu lagi perlu di re-privatise [dengan izin] dan keutamaan yang tertentu berhubung-kait dengan skop ini terpaksa dikecilkan. Mengenai dua sekolah di SMK Kalabakan dan Pulau Sibatek, saya sedia maklum bahawa tanah ini telah dikenalpasti sebagai sebahagian besar daripada masalah kita. Dalam proses meletakkan keutamaan saya akan cuba sedaya upaya menyenaraikan sekolah ini dalam Rancangan Malaysia ke-9. InsyaAllah.

SOALAN TAMBAHAN 2 (DITANYA OLEH SEPANGGAR, BEBAS)
Terima kasih YDP dan Datuk Menteri. Memang kita ketahui keadaan di Sabah agak mundur. Ada sekolah yang sering terlibat dengan banjir. Oleh sebab itu banyak sekolah yang tidak dapat digunakan semasa musim tengkujuh. Apakah rancangan kementerian untuk menaiktarafkan sekolah-sekolah ini. Terima kasih.

DI JAWAB OLEH SEMBRONG, MENTERI
YDP, dari segi sekolah daif dan sekolah-sekolah yang berada di kawasan-kawasan banjir di Sabah. Sebab itulah kita di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-9 telah menetapkan peruntukan tertinggi iaitu 3.4 billion untuk melaksanakan 3,904 projek di bawah projek-projek yang telahpun kita senaraikan, sebahagian besarnya berhubung kait dengan naiktaraf. Tetapi YB, mesti maklum, nak membanding sekolah-sekolah di Sabah dengan Semenanjung agak tidak adil kerana keluasan kawasan di Sabah itu begitu luas . 73,710 km persegi. Bilangan sekolah pun banyak 121,271. Jumlah sekolah yang mempunyai bawah 150 murid, 497. Bilangan guru dan murid pun besar. Bila kita ambil kira keluasan Sabah, ambil kira sekolah-sekolah yang sedia ada, mengambil kira sekolah-sekolah kurang murid, kita mesti melihatnya dalam konteks yang lebih luas. Peruntukan yang terhad ini mesti beri keutamaan kepada sekolah-sekolah yang betul-betul memerlukannya dan di bawah Kementerian Pelajaran, sebagai Menteri Pelajaran saya akan pastikan bahawa jumlah yang ada ini, duit rakyat sebenarnya akan sampai kepada mereka yang betul-betul memerlukannya. InsyaAllah.

SOALAN 2

SOALAN TAMBAHAN 1 (DITANYA OLEH BAYAN BARU, PKR)
Ramai yang terlibat dalam pendapatan lebih kurang RM500 sebulan dan kita anggap mereka ini termasuk dalam kumpulan miskin tegar. Lebih kurang 2 juta yang bekerja swasta yang gaji lebih kurang RM500. Mereka tidak diberikan cola, tak apa tapi mereka telah menyumbang terhadap pembangunan negara. Saya nak tanya Kementerian adakah lain-lain pertolongan untuk mereka dalam bajet yang lalu kaum nelayan dan petani ada peruntukan tetapi mereka ini yang bekerja swasta dianggap miskin tegar, ramai yang duduk di bandar jadi saya nak tanya Kementerian adakah perancangan atau peruntukan untuk kerajaan memberi kepada mereka ini yang kita boleh anggap miskin tegar. Terima kasih.

DIJAWAB OLEH PARIT SULONG, TIMBALAN MENTERI
Terima kasih YB di atas soalan tambahan itu tadi. Untuk makluman Tuan Yang diPertua dan juga Dewan Yang Mulia ini, Kementerian Sumber Manusia memang sentiasa memantau pelaksanaan pembayaran gaji dan terutamanya di dalam sektor swasta di negara ini. Walaupun kita tahu pendekatan untuk menentukan gaji di pihak swasta ini adalah berdasarkan kuasa pasaran perjanjian kolektif tetapi kita ada satu lagi iaitu Majlis Penetapan Gaji dan bagi mereka yang menerima gaji-gaji yang diketegorikan sebagai kategori di bawah paras yang telah dinyatakan oleh YB tadi , MPG akan sentiasa diubahsuai mengikut pembaharuan atau permintaan. Sebagai contoh YB, bagi mereka yang bekerja di sektor industri kita pun menyedari hakikat mereka ini tidak menerima gaji yang tidak lumayan. Jadi menyedari hakikat inilah maka Kementerian Sumber Manusia juga telah memohon dan telah membawa kepada Kabinet dan Kabinet juga telah meluluskan untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan untuk mengkaji perlu ke tidak MPG ini ditubuhkan dan ianya akan memperakukan dan Insya Allah masalah ini akan kita bincangkan pada Majlis Penetapan Gaji.
SOALAN TAMBAHAN 2 (DITANYA OLEH MARAN, BN)
Terima kasih Yang diPertua, keadaan ekonomi sekarang memang memberi kesan kepada pekerja-pekerja kita dan saya difahamkan pihak kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan gaji minimun kebangsaan. Soalan saya apakah rasionalnya Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan menyatakan gaji minumum kebangsaan tidak wajar diperkenalkan pada masa ini, sementara kadar gaji sekotr swasta pula ditentukan oleh kuasa pasaran. Ini perlu diberikan perhatian, minta Timbalan Menteri memberi jawapan. Terima kasih.

DIJAWAB OLEH PARIT SULONG, TIMBALAN MENTERI
Terima kasih YB, untuk makluman memang setakat ini dasar kerajaan ialah mempromosikan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti atau Productivity Link Wage System (PLWS) dengan izin, dan ianya adalah bertujuan untuk menjamin daya saing negara ini bagi menyumbang kepada kualiti hidup pekerja di sektor swasta dan kita pun telah membuat kajian di Kementerian Sumber Manusia. Daripada lebih kurang 70 ribu majikan telah melaksanakan PLWS yang di mana ianya berdasarkan kepada penawaran dan permintaan. Walau bagaimanapun berbalik kepada soalan tambahan nombor satu tadi, sebenarnya sekiranya masih lagi terdapat ada kekurangan atau kelemahan penetapan gaji di pihak swasta, saya bagi contoh yang pertama tadi di sektor industri adalah inisiatif daripada pihak Kementerian itu sendiri dalam usaha untuk membantu pekerja-pekerja di pihak insdustri, bermakna kalau kita melihat bahawa terdapat gaji yang dilaporkan begitu kurang Kementerian Sumber Manusia itu sendiri akan mengambil inisiatif untuk membuat satu kajian terperinci untuk mendalami dan mengambil kira purata gaji bagi semua mereka dan kita akan menganjurkanya di bawah MPG yang akan diutarakan dan untuk makluman dewan juga setakat ini di Asia Tenggara kita tidak ada mengamalkan gaji minimal untuk mana-mana negara pun termasuklah untuk kebangsaan atau nasional minimal income wage sebagai contoh tetapi apa yang mereka lakukan adalah berdasarkan daerah dan juga berdasarkan sektor itu sendiri. Insya Allah kita mengambil kira keperihatinan semua YB berkenaan perkara ini dan untuk makluman Dewan, Parlimen saya sendiri, Parit Sulong sudah banyak kilang-kilang dan industri-indiustri ditubuhkan sudah semestinya kami di Kementerian Sumber Manusia akan sentiasa memerhati dan memantau sektor indsutri seperti ini. Terima kasih.

SOALAN 3

SOALAN TAMBAHAN 1 (DITANYA OLEH SABAK BERNAM, BN)
Soalan tambahan saya ialah mengapakah usahasama tulen ini kurang berjaya. Adakah disebabkan kurangnya sambutan di kalangan usahawan bumiputera atau kurang kerjasama atau keengganan di kalangan peniaga bukan bumiputera dan apakah langkah atau rancangan kerajaan untuk meningkatkan usahasama tulen ini khususnya di bidang peruncitan di kalangan usahawan mikro bumiputera terutama di kawasan luar bandar yang sedang membangun seperti di Parlimen saya Parlimen Sabak Bernam.

DIJAWAB OLEH TANJONG KARANG, MENTERI
Terima kasih Yang Berhormat Sabak Bernam, oleh kerana usahasama tulen ini melibatkan dua kaum bumiputera dan bukan bumiputera memang kita akui agak sukar untuk kita menjalinkan dalam erti kata usahasama tulen ini. Ini yang pertama bagi pihak usahawan bumiputera masih lagi menganggap mereka menjadi “sleeping partner” ertinya sistem Ali Baba masih juga wujud walaupun hasrat kita mengujudkan usahawan tulen.Yang kedua bagi pihak bukan bumiputera mereka melihat usahasama tulen ini peluang untuk mereka mendapatkan kerja-kerja khasnya kerja-kerja dari pihak kerajaan nampaknya perkongsian pintar ini melalui teknologi pasaran rantaian nilai nampaknya masih sukar untuk kita ujudkan di antara bumiputera dan bukan bumiputera.Oleh itu Datuk Yang Dipertua Kementerian tidak pernah rasa kecewa dengan hasrat ini maka kita telah menubuhkan satu jawatankuasa yang baru yang mana kementerian sendiri mengambil alih ,Menteri sendiri menjadi pengerusi Majlis ini yang sebelum ini majilis ini di pengerusikan Pengerusi Dewan Perniagaan. Ertinya kita memberi peluang kepada Dewan Perniagaan untuk mereka sama-sama menyelesaikan masalah mereka, tapi nampaknya tak berapa jalan.Jadi sebab itu kementerian akan mengambil alih, telah pun mengambil alih, Menteri menjadi pengerusinya, KSU menjadi jawatankuasa pelaksana dan kita harap pada tahun hadapan ini kita akan dapat mengujudkan, melahirkan benar-benar usahasama tulen ini dan dalam usaha kita, kita akan cuba memberi peluang kepada syarikat usahasama tulen mendapat kerja dalam pihak kerajaan. Dalam usaha yang sama kita juga akan mencari peluang bagaimana usahasama tulen dapat merebut peluang-peluang pekerjaan atau perniagaan di sektor swasta. Terima kasih.

SOALAN TAMBAHAN 2 (DITANYA OLEH PASIR MAS, BEBAS)
Soalan saya Yang Berhormat selain dari kerjasama tulen, apakah yang berhormat sedar bahawasanya syarikat-syarikat bukan bumiputera menguasai sepenuhnya bukan saja bekalan tetapi networking perniagaan trading iaitu contah bekalan-bekalan bahan binaan,kedai-kedai “spare part” yang jumlah perniagaannya mencecah billion ringgit. Jadi saya nak tanya dari segi kerjasama dengan Dewan Perniagaan Cina dan India, apa usaha Kementerian paling tidak, kalau tidak kerjasama tulen supaya membantu usahawan bumiputera mewujud rangkaian kedai “spare part” di tiap tiap daerah kepunyaan bumiputera atau kedai kedai yang membekal bahan binaan, sebab dalam bidang industri binaan simen, besi, atap, aluminium, cermin, yang melibatkan billion ringgit dapat diwujudkan rangkaian melalui peranan Kementerian Usahawan, kedai kedai seperti PERNAS tak berapa berjaya macam-macam dah dibuat dan saya yakin adalah satu yang idealis kalau dapat diadakan usahasama tulen ini di daerah-daerah,di parlimen-parlimen di tiap tiap negeri kalau diwujudkan rangkaian seumpama ini dengan mendapatkan kerjasama Dewan Perniagaan Cina dan India supaya mereka melantik usahawan ini menjadi pembekal syarikat pada usahawan bumiputera, saya percaya ini langkah yang boleh membantu usahawan bumiputera dalam bidang perniagaan, terima kasih.


DIJAWAB OLEH TANJONG KARANG, MENTERI
Terima kasih YB Pasir Mas, mengenai pandangan YB memang tidak boleh kita nafikan, sebablah itu kita usahasama tulen supaya usahawan bukan bumiputera dapat membantu usahawan bumiputera dalam pelbagai bidang. Namun demikian masalah yang dibangkit oleh YB Pasir Mas masih lagi wujud di samping kita mengharapkan usahasama tulen ini berjalan dengan baik kementerian juga terus berusaha untuk kita mewujudkan beberapa rangkaian di antara usahawan bumiputera untuk membantu usahawan bumiputera di dalam mendapatkan bekalan-bekalan YB nyatakan tadi. Di antaranya kita telah meminta MARA INN memainkan peranan supaya dapat menjadi pembekal kepada usahawan-usahanwan bumiputera yang memerlukan bekalan. Yang kedua kita juga melantik SAMATA satu syarikat bumiputera untuk menjadi pembekal kepada alat-alat ganti kenderaan dan juga saya minta maaf YB ada satu lagi anak syarikat yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan, saya lupa nama syarikat ini, yang mana syarikat ini kita telah panggil untuk berbincang, syarikat yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan ini ia wujudkan untuk menjadi pembekal kepada bahan-bahan mentah, simen, besi dan sebagainya. Ertinya kerajaan akan terus berusaha untuk membantu usahwan-usahawan bumiputera yang hari ini selalu menghadapi masalah-masalah seperti mana yang disebut oleh YB Pasir Mas tadi. Terima kasih.


SOALAN 4

SOALAN TAMBAHAN 1 (DITANYA OLEH KOTA RAJA, PAS)
Terima kasih. Realitinya walaupun media perdana kita seperti TV3, RTM dan sebagainya masih lagi mematuhi garis panduan tetapi bila kita lihat misalnya ASTRO, terutama TV8 dan juga di bidang kesukanan, wanita digunakan sebagai daya penarik dalam Formula One. Jadi eksploitasi ini tidak semestinya dalam bidang pengiklanan sahaja. Ia merentasi banyak bidang pengawasan. Saya lihat di sini bukan sahaja Kementerian Dalam Negeri, bukan sahaja Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Kementerian Belia dan Sukan, juga terlibat dan Kementerian Pembangunan Wanita sendiri tidak mengambil sesuatu yang pro-aktif dalam hal ini. Cuma saya ingin tahu sekarang ini, adakah kita, kerajaan akan mencadangkan satu atau menghimpunkan semua akta-akta yang ada ini supaya lebih komprehensif dan merujuk kepada semua eksploitasi wanita di dalam semua bidang dan satu badan pemantauan yang bukan hanya memantau filem, menapis filem, tetapi dalam semua bidang. Satu bidang pemantauan yang bersepadu. Sekian. Terima kasih.

DI JAWAB OLEH ALOR SETAR, TIMBALAN MENTERI
Terima kasih YB Kota Raja. Untuk makluman YB, setakat ini kita mempunyai beberapa badan-badan penguatkuasaan untuk memantau dari segi simbol kewanitaan dalam iklan-iklan dalam negara ini. Contohnya forum kandungan dan juga jawatankuasa penyelarasan pemantauan siaran televisyen dan radio, awam dan swasta. Kedua-dua ini dibawah KTAK. Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan juga Lembaga Penapisan Filem di bawah Kementerian Dalam Negeri. Kita mempunyai ketiga-tiga ini yang sentiasa menjalankan kerja-kerja pemantauan. Bagi ASTRO pula, telah pun diberikan kuasa untuk mengadakan self-sensorship. Ini adalah satu janji diberikan kepada ASTRO sebelum mereka ini diberikan lesen sebagai televisyen swasta.

Bagi isu eksploitasi wanita, di bidang sukan, ini di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan dan saya juga difahamkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan juga sentiasa memberi input dan memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu jika mereka melanggar garis-garis panduan samada satu cadangan yang dicadangkan oleh YB, di mana satu akta yang meliputi semua Kementerian mengenai semua bukan sahaja terhadap pengiklanan, mengenai semua aspek kewanitaan dalam iklan dan filem atau lain-lain bidang disatukan. Ini satu cadangan yang bernas dan boleh diteliti oleh kerajaan. Sekian. Terimakasih.

SOALAN TAMBAHAN 2 (DITANYA OLEH BATANG SADONG)
Terima kasih YDP. Soalan saya ialah, kerana kita melibatkan wanita di sini, saya ucapkan tahniah kepada rakan kita di sebelah sana tadi yang membawa isu ini. Bagi mereka yang terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang ini, adakah Kementerian memastikan bahawa ianya dianggotai oleh sekurang-kurangnya beberapa anggota jawatankuasa itu terdiri dari kaum wanita. Terima kasih.

DI JAWAB OLEH ALOR SETAR, TIMBALAN MENTERI
Terima kasih. Ini mengenai hal wanita. Memanglah kena ada wakil-wakil wanita dalam semua badan-badan. Jangan khuatir, kerajaan memang amat sensitif terhadap isu ini dan saya ingin memberi jaminan bahwa dalam lembaga penapisan filem, dalam forum kandungan, semua badan-badan pengawal selia dan juga pemantauan ini mempunyai wakil-wakil dari kaum wanita. Sekian. Terima kasih.

SOALAN 5

SOALAN TAMBAHAN 1 (DITANYA OLEH LIBARAN, BN)
Terima kasih Datuk Yang Dipertua, terima kasih Timbalan Menteri. Baru-baru ini akhbar Utusan Malaysia telah melaporkan seorang wanita berumur 64 tahun mempunyai akaun simpanan lebih kurang RM15 ribu di Seremban. Jadi ini seolah-olah merupakan satu pekerjaan baru bagi pengemis-pengemis. Soalan tambahan saya, apakah langkah-langkah lain yang lebih berkesan untuk membanteras kegiatan pengemisan pada jangka masa panjang pada keseluruhannya, kerana seolah-olah ada tekong-tekong darat ataupun laut yang mengurus pengemis-pengemis ini. Jadi soalan saya juga, bagaimana mengenai masalah ini juga khasnya di negeri Sabah. Terima kasih.

DI JAWAB OLEH SUNGAI BESAR, TIMBALAN MENTERI
Terima kasih Yang Berhormat Libaran. Baru hari ini kita dengar ada tekong darat selain daripada tekong laut. Sememangnya Yang Berhormat, ia merupakan satu masalah yang agak besar kepada kita kerana kebanyakan pengemisan ini dijadikan sebagai satu kerjaya untuk meraih kesenangan dan dalam beberapa operasi juga, kita mendapati di antara pengemis itu mempunyai di dalam tangan, wang tunai dalam tak kurang RM100 hingga RM300. Yang terbesar itulah dia yang disebutkan tadi di daerah Seremban, mempunyai wang simpanan di dalam bank sebanyak RM15,300. Walaubagaimanapun, Kementerian apabila menemui semasa operasi sama ada secara ad-hoc ataupun atas aduan ataupun secara berkala, mendapati kumpulan pengemis ini, yang di bawah tarifan pengemis sama ada mereka mengemis ataupun tidak, tetapi berpeleser juga dalam takrifan, mereka tetap kita selamatkan. Ayat yang kita guna atau perkataan yang diguna bukan kita tangkap tetapi kita selamatkan kerana itu objektif utama Akta Orang Papa. Tetapi yang didapati menipu ini, akan kita hantar atau kita serahkan kepada pihak polis, pihak berkuasa untuk diambil tindakan. Akta Orang Papa ini adalah untuk memulihkan, menjaga, memulihkan dan mengembalikan semula mereka, mengintegrasikan mereka semula kepada kalangan keluarga dan juga masyarakat. Dan berkenaan dengan kedudukan di Sabah pula Yang Berhormat, walaupun Akta Orang Papa ini sebenarnya belum lagi dipanjangkan penguatkuasaannya di negeri Sabah tetapi kita telah menangani masalah pengemisan ini bersama-sama dengan lain-lain agensi juga, dan secara keseluruhannya kedudukan pengemisan adalah terkawal kecuali di beberapa buah bandar besar seperti di Kota Kinabalu, Sandakan dan juga Tawau. Dan Jabatan Perkhidmatan Kebajkan Am Sabah juga telah menubuhkan satu tindakan konkrit dengan mewujudkan jawatankuasa menangani pengemis yang juga melibatkan Dewan Bandaraya, Jabtan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jabatan Imigresen, pihak polis, Jabatan Kesihatan dan juga lain-lain jabatan dan agensi yang difikirkan sesuai dan pihak polis mengambil tindakan. Walapun tidak ada akta tetapi pihak polis mengambil tindakan di bawah seksyen 23 minor offenses Ordinan Sabah Cap. 80. Dan kepada pengemis warganegara asing yang ditemui juga di Sabah, akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen sebagaimana di Semenanjung. Terima kasih Yang Dipertua.

SOALAN TAMBAHAN 2 (DITANYA OLEH BATU GAJAH, DAP)
Terima kasih Datuk Yang Dipertua. Mereka yang mengemis ini ada yang menggunakan laporan perubatan, menggunakan kecacatan anggota mereka, membawa anak kecil dan menggunakan unsur agama. Dan tidak kurang juga pengemis dari luar negara yang datang dengan satu tujuan sahaja untuk mengemis. Pengemis dari asing, datang negara ini mengemis, tetapi sebaliknya mereka tinggal hotel. Jadi bagaimanakah pihak Kementerian boleh mengasingkan mereka daripada yang tulen dengan yang palsu. Yang tulen mengemis, yang tulen atau yang palsu sebelum menggunakan perkataan diselamatkan dan berapakah kos untuk menampung mereka ini yang pengemis palsu ini. Kena perlu menghantar mereka balik ke atau sementara menunggu menghantar mereka balik, sebab setahu saya, Akta Orang Papa ini tidak memperuntukkan hukuman ke atas mereka. Bagaimana dengan dalang-dalang, sindiket-sindiket ini. Pengemis asing boleh datang menjual nyanyian, lagu, mengemis, lepas itu tinggal di hotel. Jadi saya pohon penjelasan berhubung dengan aspek ini.
DI JAWAB OLEH SUNGAI BESAR, TIMBALAN MENTERI
Terima kasih Yang Berhormat Batu Gajah. Sebenarnya itulah dia masalah kerana rakyat di negara Malaysia ini memang rakyat yang prihatin, rakyat yang penyayang, mudah simpati dan mudah bersedekah. Dan negara mewah, bukan negara berkebajikan macam yang hendak dibuat oleh pembangkang, Tetapi negara kita memang cukup mewah, rakyatnya tidak ada yang sampai kebuluran. Sampai pengemisan ini dijadikan kerjaya mudah. Dan kepada kumpulan pengemis yang menggunakan agama atau kanak-kanak, mereka juga tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang dan mereka boleh kita selamatkan di bawah Akta kalau mereka genuine, tetapi kalau mereka sengaja menggunakan agama, menggunakan kanak-kanak, kita ada undang-undang dan kita juga ada Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana sesiapa yang menggunakan kanak-kanak untuk mengemis boleh diambil tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak ini, boleh disabitkan kesalahan. Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5000 ataupun penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atapun kedua-duanya sekali. Dan kepada tekong darat ataupun sindiket sepertimana yang disentuh juga oleh Yang Berhormat sebentar tadi, Kementerian memang sedar wujudnya sindiket-sindiket ini termasuklah sindiket daripada kumpulan-kumpulan asing. Dan tugas Kementerian adalah untuk menyelamatkan mangsa dan pengemis genuine, memulihkan mereka dan mereka yang menyalahguna atau menipu melalui sindiket ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia yang juga bekerjasama dengan kita. Dan macamana Yang Berhormat kata, macamana kita nak tahu duduk di hotel dan sebagaimananya, melalui operasilah Yang Berhormat, baru kita tahu. Bila kita buat operasi, kita ambil perintah, tahan mereka selama 24 jam, dan kemudian ambil perintah untuk 30 hari untuk kita buat laporan sosial. Dari situlah, maka kita akan tahu genuine atau tidak pengemisan mereka itu. Terima kasih Yang Dipertua.



SOALAN 6

SOALAN TAMBAHAN 1 (DITANYA OLEH PADANG TERAP, PAS)
Saya nak tanya walaupun kita perlukan pembiayaan untuk menguruskan pengurusan air Ini, dalam konsep model yang dibentangkan model industri air yang baru. Adakah satu kadar yang tetap, maksudnya dalam menentukan elemen profit margin ini yang di ambil kira dalam kita menentukan tarif air kerana apa, yang kita faham bahawa dalam konsep model industri yang baru ini kadar profit margin ini sepatutnya lebih rendah, risiko yang begitu kurang. Yang kedua, berapakah jangkaan kos bagi pihak kementerian sendiri, ataupun kerajaan persekutuan untuk mengambil alih dan bagaimanakah Pengurusan Aset Air Berhad ini, PAAB ataupun kerajaan pusat membiayai kos pengambil ini. Yang ketiga bagi pihak kerajaan negeri Kedah saya ingin bertanya adakah kerajaan negeri ataupun pihak-pihak yang terbabit ini, akan dipanggil untuk sama-sama berbincang dan terlibat dalam menentukan tarif air ini kerana setiap negeri mempunyai permasalahan dan juga rakyat yang berbeza dari segi pendapatan, terima kasih.

DIJAWAB OLEH TAMPIN, MENTERI
Kalau air itu air hujan, memang boleh kita berikan secara percuma. Tapi untuk membekalkan air, ke mana-mana kawasan kita perlukan kewangan termasuk di negeri Kedah, sebab itu kita kerajaan apabila kita membuat rejim baru ini kita adakan Akta Industri Perkhidmatan Air, dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara adalah tujuannya untuk membekalkan air kepada pengguna. Dengan air yang berkualiti, boleh di minum, portable dengan izin, dan harga yang berpatutan. Dan berhubungan dengan perkara ini, saya maklumkan kepada YB Padang Terap, walaupun kawal selia itu berada pada kerajaan pusat, sebagaimana YB minta, memang apabila untuk menentukan tarif harga elektrik, kerajaan pusat ataupun kementerian ini melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, akan berbincang, dengan Kerajaan Negeri, termasuklah di negeri Kedah, yang mana baru-baru ini, kira-kira dua minggu yang lalu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, berjumpa dengan kerajaan Negeri Kedah, untuk memberi pandangan dan telah pun menjelaskan kepada kerajaan negeri kedah, kekeliruan kerajaan negeri Kedah yang bimbang sekiranya apabila mereka berhijrah ke rejim baru ini, seolah-olah mereka kehilangan kuasa keuntungan yang mereka dapat nanti akan diambil oleh kerajaan pusat. Kerajaan tidak ada hasrat atau cita-cita untuk mengambil sebarang keuntungan yang diperolehi oleh operasi kegiatan air yang diunjurkan oleh kerajaan negeri Kedah. Cuma untuk mengawal selia operasi bekalan air yang ada diseluruh negara, setiap negeri pada hari ini. Kerana pada hari ini, setiap negeri yang ada di Semenanjung ini kawal selianya ditentukan oleh negeri itu masing-masing tetapi apabila berhijrah kepada rejim baru ini, di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air dan SPAN ini, maka kawal selia itu akan disatukan. Maknanya standard law being apply untuk semua negeri-negeri yang ada dalam negara ini. Pada masa yang sama, dari sudut keuntungan juga akan ditentukan supaya syarikat-syarikat yang mengendalikan operasi bekalan air ini tidak mengaut keuntungan yang bergitu banyak. Maka tidak membebankan pengguna dimasa yang akan datang.

SOALAN TAMBAHAN 2 (DITANYA OLEH BATU PAHAT, BN)
Sepertimana yang disebut tadi bahawa air merupakan bekalan strategik yang cukup penting kepada negara kita. Jadi apabila sebuah negeri itu berhasrat untuk mengambil alih pentadbiran dan pengurusan bekalan air, sebagi contohnya negeri Selangor mahu mengambil alih syarikat SYABAS sedangkan SYABAS terbukti melaksanakan tugas mereka dengan cukup efisyen, dan sebab itulah ada memorandum bantahan daripada rakyat yang membantah tindakan kerajaan negeri untuk mengambil alih SYABAS. Dan dikatakan akan membawa pelabur daripada luar untuk sama-sama melabur dalam syarikat yang baru ini. Ini sebenarnya cukup bahaya. Jadi adakah kriteria tertentu dalam kita menentukan bahawa kerajaan negeri mengambil satu syarikat yang sudah efisyen, apakah Kerajaan Persekutuan tidak ada kuasa untuk menentukan tujuan tersebut dan saya ingin tahu juga tentang apa yang berlaku bekalan air di Johor iaitu kita jual kepada Singapura apakah kita akan mengkaji semula perjanjian ini yang hanya menguntungkan singapura.
DIJAWAB OLEH MENTERI, TAMPIN
Pertamanya ingin saya jelaskan, walaupun berhubung dengan bekalan air di Selangor antara SYABAS dengan kerajaan negeri, mereka ini merupakan business identiti walaupun mereka boleh jual beli, kerajaan negeri boleh mengambil perniagaan ini atau pun membeli perniagaan ini daripada pemilik konsesi ataupun pejalan operasi pada hari ini tetapi melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, kementerian ini pertamanya akan memastikan sekiranyanya dua-dua pihak ini maknanya pemegang yang mengusahakan operasi hari ini dan kerajaan negeri bersetuju, dua-dua pihak dah setuju, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, ataupun SPAN masih lagi boleh memainkan peranan akan pasti memainkan peranan pertamanya memastikan bahawa transasi itu tidak akan membebankan pengguna di masa akan datang yang itu tarif yang akan digunakan pada masa yang akan datang itu perlulah dilihat terlebih dahulu. Keduanya siapa akan membiayai kewangan akan dicari oleh kerajaan negeri ini. Kita tidak mahu suatu hari nanti industri yang strategik ini dimiliki oleh pihak asing, ada kuota kalu tak salah saya tidak kurang 30% tidak boleh dimiliki oleh orang asing dan sekiranya ada kesilapan saya akan meklumkan kepada YB. Ini perkara perkara pokok, tetapi penting sekali sekiranya kedua-dua pihak ini bersetuju akhirnya Suruhanjaya Perhidmatan Air Negara akan melihat bagaimana peruntukan dari segi tarif yang akan dikekalkan kepada pengguna kerana yang penting sekali adalah mutu perkhidmatan air yang dapat dikecapi oleh pengguna, tidak membebankan dan tarifnya dapat dijaga. Berhubung dengan bekalan air ke singapura ianya tidak terletak di bawah kementerian ini, saya yakin ia terletak dibawah kementerian luar.

SOALAN 8

SOALAN TAMBAHAN 1 (DITANYA OLEH BUKIT MERTAJAM, DAP)
Sejak tahun 2003, indek jenayah telah membimbangkan kita semua, tambah baru-baru ini trend telah menjadi lebih ganas lagi. Polis baru memperkatakan wujudnya satu kumpulan yang menculik wanita, rogol dan rompak. Jadi mengapakah ini terjadi, kita juga melihat kumpulan rompakan yang lebih ganas mereka bukan saja merompak tetapi membunuh dan saya lihat jawapan-jawapan yang diberikan oleh pihak kementerian dari dulu sampai sekarang tidak banyak berbeza, saya rasa zaman telah berbeza dan cara jenayah berlaku telah menjadi lebih kompleks. Tetapi saya rasa pihak polis tidak meningkat cara untuk mencegah jenayah mengikut masa, ini pandangan saya. Jadi saya rasa kita perlukan satu usaha yang lebih gigih, sekarang kita semua lihat, seperti pihak polis tidak dapat mengatasi masalah ini umpamanya kes rogol telah meningkat dari 2003 sampai hari ini 8 kes, berlipat ganda . Jadi saya hendak satu jawapan yang lebih baik supaya dapat menyakinkan kita semua dan juga rakyat dan kementerian dapat melindungi kita semua. Terima kasih.

DIJAWAB OLEH ALOR SETAR, TIMBALAN MENTERI
Terima kasih YB yang begitu perihatin terhadap kes-kes jenayah yang berlaku di negara kita dan seterusnya peningkatan peratusannya. YB telah pun sentuh tentang dua perkara, iaitu peningkatan kes-kes jenayah di negara ini dan kedua kes rogol. Peningkatan kes-kes jenayah, YB sebelum kita memahami masalah yang dihadapi oleh Polis di Malaysia harus tahu dulu trend peningkatan kes-kes jenayah termasuk juga menjurus ke arah lebih keganasan. Ini adalah satu trend yang dikhuatiri oleh semua pihak, bukan sahaja YB, pihak PDRM dan kerajaan pada keseluruhannya, ini satu trend yang harus dibimbangkan oleh pihak semua. Yang kedua, kita juga harus memahami pada dua aspek, kes jenayah dari sudut mikro dan kes jenayah dari sudut makro. Dari sudut mikronya, memang kelihatan banyak sekali tambahan demi tambahan, apa sebabnya? Sebabnya kita sentiasa membuka surat khabar Cina, surat khabar Melayu, surat khabar lain-lain bahasa. Sama juga dengan adanya polisi dan dasar-dasar terbuka ini maka nampak seolah-olah pada setiap hari ada jenayah-jenayah berlaku. Tetapi pada makronya kita masih dapat menangani kes-kes jenayah yang berlaku pada setiap hari. Lepas itu kita harus juga tahu apa sebabnya nampak begitu banyaknya kes. Yang pertama, kita sekarang ni mudah membuat report di seluruh negara dengan pertambahan balai-balai polis, pondok-pondok polis, komuniti rakyat di setiap tempat di negara ini senang sahaja untuk membuat report. Bila kita buat report jenayah tak kira sama ada ringan, kes berat ataupun kekerasan ini semua akan di bawa akan jadi indeks jenayah. So bila kita senang nak buat kalau nak banding dengan dulu-dulu 10 tahun kebelakangan ini seolah-olehnya peningkatan kes jenayah telahpun berat. Bagi kes rogol, YB kata telah meningkat daripada 4 hingga 8 purata pada hari ini. Memang benar. Mengikut statistik itu adalah statisitik yang benar tetapi kita harus memahami juga sebab apa 8 kes. 8 kes ini termasuk dengan kes-kes yang dilaporkan sahaja, kadang-kadang bukan kes rogol kes suka dua belah pihak lelaki dan wanita tetapi bila sampai rumah, ibu bapa paksa sudah jadi kes rogol. Yang kedua banyak telah pun diselesai. Banyak kes rogol telah diselesai sebab kadang-kadang bagi kaum Melayu bila kes seumpama ini dah berjaya, kahwin kedua-dua pihak, kira dah selesailah. Baiklah YB selain daripada itu, kita harus memahami ini satu fenomena, saya bukan kata polis tidak cekap tetapi peningkatan jenayah ini satu fenomena world wild di seluruh dunia ini, sebab bila saya sebut itu kita alih sebab apa jadi macam itu. Satu kajian telah dibuat oleh organisasi antarabangsa dan didapati bahawa ada setengah-setengah negara yang begitu tutup sekali bukan macam negara seperti Malaysia, kita buka bagi rakyat tahu dan mereka bebas untuk buat report. Bila buat report tambah pula statistik jenayah. Yang kedua mencegah jenayah ini adalah tanggungjawab bersama pihak kerajaan khususnya PDRM dan rakyat didapati juga peratusannya tinggi, didapati rakyat kita tidak begitu rela bekerjasama dengan kerajaan untuk menjaga harta benda mereka ini. Bila mereka keluar dari rumah mereka kunci sahaja tidak jaga dengan baik. Saya bagi satu contoh, dalam kawasan saya sendiri pihak kuasa tempatan telah buat langkah besi, bila kita nak park motor bike kita ni, bukan saja park, kita buat kerja sikit kita tambah dengan lock kunci. Maksudnya kunci motor bike lepas itu ada pula tali rantai yang kita boleh buat tambahan. Tetapi malangnya tiap-tiap pagi bila saya pergi kawasan saya tengok hanya park sahaja tak da tambahan ini adalah tanggungjawab bersama. Untuk makluman setakat kita mempunyai 107 ribu kekuatan anggota polis masih tidak mencukupi dan dalam perancangan 5 tahun ini kerajaan akan menambah lagi 60 ribu sampai tahun 2012 masa itu kita dapat melihat nisbah polis dan penduduk ialah 1 dengan 196 itu tahun 2012 tetapi buat masa ini nisbah kita masih rendah lagi iaitu 1260 di seluruh negara, penang 275. Maksudnya we are still behind interpol. Interpol 1250, so demikian kita dapat melihat perancangan pihak polis, perancangan kerajaan adalah cukup baik sama ada takat ini kita berkesan atau tidak saya boleh jawab masih ok lagi, tetapi tidak memuaskan lagi 100 peratus. Sekian terima kasih.

SOALAN TAMBAHAN 2 ( RANTAU PANJANG, PAS)
Terima kasih YB, kerakusan nafsu manusia tidak mungkin dapat diselesaikan dengan undang-undang semata-mata. Adakah kerajaan bercadang untuk menilai undang-undang Islam yang terbukti lebih berkesan untuk menangani jenayah. Jadi apa sebabnya kita negara Malaysia tetapi kita enggan, Islam negara rasmi negara tetapi kita kurang berkeyakinan unutk melaksanakan sistem undang-undang Islam dalam menangani jenayah di negara Malaysia. Terima kasih.

DIJAWAB OLEH PARIT SULONG, TIMBALAN MENTERI
Terima kasih YB, kita tidak boleh sekali gus ala Kelantan sebab negara ini adalah sebuah negara majmuk, tetapi walau bagaimanapun nilai-nilai Islam telah diserap masuk dalam undang-undang supaya ia dapat dinikmati oleh rakyat walaupun negara majmuk kita dapat serapkan nilai-nilai Islam, nilai-nilai bangsa lain yang agak baik yang boleh semua ini kita bantu supaya dapat menurunkan lagi indeks jenayah di negara kita ini. Terima kasih.
SOALAN 9
SOALAN TAMBAHAN 1 (DITANYA OLEH PULAI, BN)
Terima kasih YDP. Ekonomi negara tidak mengalami kemelesetan adalah untuk memastikan bahawa kecairan dalam ekonomi kita kukuh, kedua memastikan bahawa, keyakinan untuk berbelanja dalam kalangan rakyat tinggi. Ketiga untuk memastikan bahwa pekerjaan rakyat terjamin dan keempat memastikan rakyat terus dapat memiliki rumah mereka. Dalam jawapan Timbalan Menteri tadi saya tidak mendengar apa-apa langkah pun yang boleh memberikan keyakinan rakyat bahawa keempat-empat faktor yang saya sebutkan tadi itu adalah masih terus terjamin dan rakyat masih boleh mempunyai keyakinan tinggi kepada ekonomi negara kita, walaupun negara kita mungkin tidak akan menghadapi kemelesetan ekonomi. Soalan tambahan saya apakah langkah-langkah khusus yang dibuat oleh kerajaan untuk memastikan bahawa keempat-empat perkara yang disebutkan tadi masih lagi benar dalam ekonomi negara kita ini. Terima kasih.

DI JAWAB OLEH LUMUT, TIMBALAN MENTERI
Terima kasih YB. Sebenarnya kerajaan telahpun dari mulanya telahpun mengambil langkah-langkah awal untuk supaya negara kita tidak dilanda kemelesetan ekonomi. Jadi dari mula, telah pun banyak langkah-langkah yang diambil selain daripada 7 bilion ringgit program, yang diumumkan baru-baru ini. Sebelum ini juga, kita ada satu skim di mana IKS di negara kita diberi bantuan untuk menjamin bahawa cash flow mereka masih sihat supaya IKS kita khasnya dari sektor pembuatan, tidak gulung tikar supaya pekerja-pekerja mereka akan mengalami pengangguran. Ini semua adalah di antara langkah yang diambil. Dan untuk menambah perbelanjaan di negara kita, kerajaan juga mengumumkan untuk potongan caruman pekerja KWSP sebanyak 3%, dan ini akan menambah wang tunai sebanyak 4.8 bilion ringgit setahun ke dalam poket pekerja supaya mereka boleh berbelanja di negara kita. Jadi bank-bank di negara kita juga masih kukuh dan masih memberi pinjaman. Dan kita tidak mempunyai credit crunch di mana bank telahpun berhenti memberi pinjaman dan sebagainya. Jadi atas langkah-langkah yang di ambil itu, kita boleh yakin bahawa ekonomi negara kita akan terus berkembang.

No comments: