Monday, June 15, 2009

Nizar dan Parlimen


Samada Nizar bertindah demikian semata-mata untuk menagih simpati atau memperbodohkan diri beliau untuk kepentingan politik cetek renung-renungkanlah

Nizar Diusir Sebaik Angkat Sumpah Langgar Peraturan Pakaian

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin daripada Pas diarah keluar daripada Dewan Rakyat sebaik saja selesai mengangkat sumpah memegang jawatan kerana melanggar etika pakaian dengan memakai satu lilitan pada songkoknya.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga mengeluarkan perintah serupa terhadap beberapa anggota pembangkang lain termasuk Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena), Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan N.Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) yang turut memakai sama ada lilitan di lengan atau di kepala.

Mohd Nizar, bekas Menteri Besar Perak yang memenangi kerusi Bukit Gantang dalam satu pilihan raya kecil pada 7 April lepas, telah melaungkan "Hidup Rakyat, Bubar DUN" (Perak) sebaik beliau mengangkat sumpah, dan disambut oleh anggota-anggota pembangkang dalam dewan.

Pandikar Amin berkata bahawa biasanya apabila selesai upacara mengangkat sumpah, tugas beliau adalah untuk mengalu-alukan kehadiran anggota dewan yang baru serta meminta kerjasamanya menghormati kemuliaan dan peraturan dewan, tetapi dalam kes Mohd Nizar, beliau enggan berbuat demikian.

Mohd Nizar pula memberitahu sidang akhbar bahawa tindakannya itu adalah untuk menarik perhatian terhadap tuntutan pembangkang agar Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Pandikar Amin kemudian menjelaskan tindakan beliau kepada pemberita dengan berkata Anggota-anggota Parlimen itu engkar dengan arahan apabila beliau meminta mereka tidak membuat kekecohan seperti itu.

"Ini menyebabkan penangguhan selama 24 minit. Lilitan di kepala tidak dibenarkan, kami semua perlu menunjukkan hormat kepada Parlimen, anda datang, anda tunduk hormat dan memanggil yang lain sebagai Yang Berhormat. Apabila anda tidak hormat, ini bukan pasar," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Anggota Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa perkara seperti itu berlaku di Parlimen-parlimen lain di seluruh dunia, Pandikar Amin berkata: " Jika mereka ingin melakukannya, mereka boleh pergi ke Parlimen lain. Jadi Anggota Parlimen di sana."

-- BERNAMA