Sidang Dewan Rakyat Ditangguh 45 Minit Ekoran Pembangkang Pertikai Suntikan RM7 Bilion
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat ditangguh 45 minit hari ini ekoran kekecohan yang berlaku berikutan tindakan anggota pembangkang mempertikaikan suntikan RM7 bilion yang diumumkan dalam penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa.
Keadaan tegang dan kecoh itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memutuskan untuk menangguhkan persidangan pukul 12.15 tengah hari dan disambung semula selepas rehat tengah hari pada pukul 2.30 petang.
Ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Dr Wan Junaidi berkata beliau terpaksa bertindak menangguhkan mesyuarat memandangkan penjelasan beliau tidak memuaskan hati anggota Dewan di samping mahu mengawal kekecohan daripada berpanjangan.
"Saya tidak perlu memberi penjelasan kenapa saya bersikap begitu (tangguhkan Dewan) oleh kerana sebab-sebab tertentu yang saya fikirkan untuk menangguhkan Dewan daripada duduk di atas (kerusi Yang Dipertua) untuk mendengar perbalahan yang tidak berhabisan," katanya.
Beliau berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan mempengerusikan mesyuarat pada sesi petang bagi menjelaskan mengenai Bajet 2009 yang dibentangkan sebelum ini serta sumber kewangan sebanyak RM7 bilion selepas mendapat penjelasan daripada Kementerian Kewangan.
Terdahulu, anggota pembangkang mendakwa mereka keliru dengan angka yang diumumkan Najib semalam dengan angka yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Bajet 2009 pada 29 Ogos lepas.
Semalam, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion dalam usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.
Situasi tegang itu bermula apabila Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) bangun untuk membahaskan rang undang-undang itu pada peringkat jawatankuasa, mempersoalkan mengenai pakej bernilai RM7 bilion itu tidak terkandung di dalam Bajet 2009.
"Sebelum peringkat jawatankuasa adakah ruling atau nasihat mengenai beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri terhadap suntikan RM7 bilion kepada Bajet 2009.
"Ini luar biasa kerana cadangan yang dibuat tidak ada dalam Bajet 2009 (yang dibentangkan) Menteri Kewangan dahulu (Abdullah). Setiap sen perlu diluluskan di Parlimen tetapi perkara ini tidak dibawa ke hadapan kita," katanya.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) kemudian mencelah dan meminta pertimbangan Dewan supaya angka yang diumumkan semalam itu diedar kepada anggota Parlimen untuk dibahaskan.
Dr Wan Junaidi menjawab dengan menjelaskan bahawa beliau tidak boleh memberi arahan kepada mana-mana pihak untuk menarik balik apa yang sudah diumumkan.
"Ucapan oleh Menteri Kewangan (Najib) telah dihabiskan dan ditamatkan semalam, malang sekali barisan pembangkang telah keluar Dewan, saya juga terikat dengan keputusan yang telah dibuat semalam iaitu perkara telah dibaca, dibentang, jadi dalam keadaan sedemikian saya tidak boleh memberi arahan kepada mana-mana pihak kerajaan untuk menarik balik apa saja yang disebut pihak kerajaan.
Jawapan Dr Wan Junaidi itu bagaimanapun tidak diterima oleh anggota Parlimen pembangkang yang kemudian mendesak supaya persidangan ditangguhkan sementara untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan mengenai suntikan RM7 bilion itu.
Sementara itu, Anwar dalam sidang akhbarnya berkata tindakan Menteri Kewangan (Najib) membentangkan Bajet semalam adalah melanggar peraturan Parlimen kerana tidak memberikan notis sekurang-kurangnya dua hari lebih awal berhubung sebarang pindaan dalam belanjawan itu.
"Kalau hendak membuat pindaan hendaklah diberi notis dua hari...Ia ada dalam perkara 66(15) yang menyatakan pindaan yang dikehendaki diberitahu sekurang-kurangnya dua hari dan ada usul yang diedarkan," katanya.
Anwar turut mempersoalkan mengenai Bajet mana yang diluluskan bagi peringkat kedua pembacaan, sama ada Bajet yang dibentangkan oleh Abdullah pada 29 Ogos lepas ataupun Bajet yang dibentangkan oleh Najib yang didakwa pembangkang sebagai Bajet baru.
"Speaker kemudian mengumumkan bahawa yang diluluskan adalah Bajet yang dibentangkan Najib, kalau Bajet Najib diluluskan, ia melanggar peraturan kerana yang diedar kepada kami Bajet Abdullah, Bajet Najib belum edar...Jadi peruntukan perbelanjaan pertanian dan pendidikan peruntukannya sudah berbeza," katanya.
-- BERNAMA
Wednesday, November 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment