Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Pontian.
11.34 pg.
Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, bagaimanakah dengan pindaan AUKU ini dapat memberi peluang yang luas kepada pentadbir dan pelajar universiti agar dapat menanamkan budaya keusahawanan tanpa mengira kursus yang mereka ambil dan kemudiannya memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan yang akhirnya akan menyelesaikan masalah pengangguran siswazah sekarang ini.
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar) mempengerusikan
Mesyuarat]
Soalan kedua yang penting juga ialah tentang ranking 2008 universiti. Universiti Malaya 230,
UKM, 250, USM, 313, UPM, 320, dan UTM, 356. Melalui pindaan AUKU ini, berapa tahun atau berapa puluh tahun lagi sebuah universiti di negara ini boleh mencapai setaraf seumpama Harvard, Yale, Cambridge, Oxford, California Institute of Technology (Cal Tech), Imperial College London, University College London (UCL), University of Chicago dan Massachusetts Institute of Technology (MIT). Sepuluh universiti terbaik di dunia yang kebetulan kesemuanya berada di US dan UK.
Saya melihat secara positif pindaan AUKU ini akan dapat memperbaiki tadbir urus universiti
dan pendidikan tinggi secara holistik kerana:-
(i) menambah baik proses perundingan secara demokrasi dari segi pelantikan
Naib Canselor, Ketua Kampus, Keanggotaan Senat, Pelantikan Dekan, ketua
sekolah, institut, pusat dan akademik;
(ii) keterbukaan, ketelusan dan accountability dengan menubuhkan
Jawatankuasa Pengurusan Universiti yang bertujuan untuk menasihati Naib
Canselor;
(iii) menambah autonomi kepada universiti dengan memindahkan beberapa
kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menteri kepada Lembaga Pengarah
Universiti, Senat, dan Naib Canselor;
(iv) memberikan perincian pembahagian fungsi dan kuasa Lembaga Pengarah
Senat dan Naib Canselor dengan lebih jelas dan teratur;
(v) penyelesaian pertikaian antara pihak berkuasa universiti boleh dijalankan
dengan lebih berkesan dengan penubuhan satu panel penyelesai pertikaian;
(vi) penyelidikan inovasi dan pengkomersialan akan dapat dihebatkan kerana
dibolehkan pemindahan dan wujud mobiliti perkhidmatan pekerja dan
pensyarah antara universiti-universiti;
(vii) pengantarabangsaan pendidikan tinggi akan dapat dicapai kerana pindaan
akta ini membenarkan menteri untuk menubuhkan kampus cawangan
universiti di luar negara;
Saya tidak sabar untuk menanti, melihat misalnya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ada
cawangan di Mesir. UKM di UK dan USM di US.
(viii) kebajikan dan hak asasi pekerja dan pensyarah universiti akan lebih terbela
kerana pindaan ini melibatkan penambahbaikan dalam pelantikan dan
kenaikan pangkat, penubuhan jawatankuasa kebajikan pekerja dan hak
untuk memilih perwakilan dalam Senat dan Lembaga Pengarah Universiti;
dan
(ix) tindakan merapatkan hubungan dengan pihak swasta juga dialu-alukan
kerana keanggotaan Lembaga Pengarah Universiti dalam pindaan ini
menambah dari dahulunya seorang kepada tiga orang agar wujud kerja
sama menang-menang dengan pihak swasta.
Tuan Yang di-Pertua, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dikuatkuasakan pada
13 April 1971 telah dipinda sebanyak empat kali iaitu pada September 1971, Mei 1975, Februari 1983
dan Oktober 1996. Pindaan kelima Disember 2008 ini adalah pindaan secara besar dan menyeluruh
dan selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang telah dilancar oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos 2007.
Pertikaian utama AUKU ialah tentang penggantian seksyen 15 kepada fasal 8, fasal 9 dan
fasal 10 tentang larangan pelajar terhadap aktiviti berkaitan mana-mana parti politik, pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan mana-mana pertubuhan yang menteri putuskan setelah menerima pandangan dan berunding dengan Lembaga Pengarah Universiti. Waktu empat hingga enam tahun di universiti adalah era singkat yang menjadi arah tuju persimpangan jalan hidup kepada siswa siswi. Ketika itu api idealisme sedang menyala dengan terang. Ketika itu berlaku lambakan ilmu dan maklumat yang membawa kepada ledakan fikiran dan idea-idea baru. Jangan kita padamkan api idealisme itu. Biarkan ia terus menyala demi kepentingan perjuangan murni untuk rakyat. Jika idealismenya untuk melihat kawasan luar bandar termasuk di ceruk pedalaman, di Hulu Sabah dan Sarawak dibangunkan oleh kerajaan, maka benarkan kumpulan pelajar berkaitan pergi mengadakan khidmat dan bakti siswa di rumah-rumah panjang yang belum ada kemudahan air, elektrik, telefon serta jalan yang sempurna. Saya kira tiada salahnya jika setelah aktiviti itu, mereka menulis laporan sama ada berbentuk akademik atau pun tidak, yang dihantar salinannya kepada Ahli-ahli Parlimen atau Menteri-menteri yang berkaitan. Kedua, jika idealisme pelajar untuk melihat bumiputera memiliki lebih daripada 15% premis perniagaan di bandar-bandar agar kuasa ekonomi lebih banyak dimiliki oleh 66% bumiputera di negara ini, benarkan pelajar-pelajar sama ada bumiputera dan bukan bumiputera bekerjasama membuat kajian akademik lapangan yang kemudiannya dihantar kepada menteri-menteri yang
berkaitan agar wujud keadilan dari segi pengagihan kekayaan negara ini.
Ketiga, jika idealisme pelajar untuk menghapuskan kemiskinan tegar sama ada di kota atau
pun di desa, bagi memastikan rakyat miskin tanpa mengira kaum, merasai nikmat sesuap nasi pagi, tengah hari, dan malam dengan bumbung rumah yang tidak bocor dan lantai papan yang tidak reput, benarkan mereka menulis cadangan-cadangan kepada pihak-pihak berkaitan setelah membuat kajian akar umbi.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta penjelasan.
Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Syorkan apakah lagi yang belum kerajaan lakukan untuk
mengeluarkan rakyat dari putaran ganas kemiskinan.
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta penjelasan.
Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Sila.
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan
Yang Berhormat Pontian. Yang Berhormat menyebutkan perkara-perkara itu seolah-olah ianya
menjadi pertikaian dalam pindaan AUKU ini, seolah-olah pelajar-pelajar tidak digalakkan untuk membuat aktiviti itu semua. Saya rasa perkara ini tidak timbul, kenapa pula hendak dibangkitbangkitkan
soal yang itu, bangkitkanlah perkara yang menjadi masalah sahaja. Sekian, terima kasih.
Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Terima kasih atas pandangan. Sabar, saya akan sampai
ke situ. Keempat jika idealisme pelajar ingin melihat diri mereka cemerlang dari segi akademik, mendapat PNGK atau sijil PA yang semaksimum mungkin agar senang diterima oleh majikan swasta
dan luar negara. Menjadi pelajar yang glokal pencapaian akademiknya namun terdapat halangan kewangan kerana dia anak penoreh getah, pekebun kecil sawit, nelayan atau petani miskin. Mereka sebagai satu kumpulan ingin menyampaikan suatu memorandum bagi membaiki peluang mereka di IPTA. Wajarlah memorandum itu diterima oleh Lembaga Pengarah Universiti dan Menteri Pengajian tinggi.
Saya telah memberikan empat contoh idealisme pelajar yang saya pohon jawapan daripada
Yang Berhormat Menteri. Adakah dalam pindaan AUKU 2008 ini, pelajar disekat untuk mengadakan
empat aktiviti yang berkaitan itu -
Yang Berhormat Pasir Salak.
Tuan Yang di-Pertua, sambil kita mensyukuri hakikat yang selalu dilupakan. Fakta yang
selalu tidak di sebut bahawa semua pelajar IPTA tanpa mengira kaum menerima hampir 90% subsidi
pendidikan daripada kerajaan. Hanya 10% yang pelajar bayar, itu pun diberi pinjaman PTPTN.
Namun hakikat yang pahit untuk ditelan bahawa kecemerlangan akademik khasnya pelajar
bumiputera di menara gading masih di tahap yang perlu diperbaiki.
Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah sudah dibuat kajian-kajian
ilmiah bahawa jika para pelajar terlibat dalam parti politik maka pencapaian mereka dalam akademik
akan merosot. Jika belum dilaksanakan kajian itu, mungkin ada baiknya dibuat segera.
Jika kajian mendapati wujud tidak sentosa dalam keharmonian kampus apabila politik
kepartian diamalkan, maka elok pelajar menangguhkan dahulu untuk aktif berpolitik. Mereka ada
baki seumur hidup 30, 40, 50, 60 tahun lagi untuk menjadi seperti kita di Dewan Rakyat ini.
Kepada yang berminat untuk memahami teori politik, saya mengesyorkan agar mereka
mengambil subjek Sains Politik yang ada di hampir semua universiti. Kepada yang berminat untuk
memahami real politik sekurang-kurangnya mereka boleh bertanding dalam pilihan raya kampus
suatu replika realiti politik sebenar.
Kita mengharapkan agar ketajaman jurus fikir dan sahsiah mulia pelajar terus dicanai dengan
baik melalui pindaan AUKU ini. Apabila kita menyebut seseorang pelajar boleh menjadi ahli manamana
pertubuhan, persatuan, badan atau kumpulan orang sama ada atau tidak ia ditubuhkan di
bawah undang-undang bertulis; sama ada ia ada di dalam atau di luar universiti atau di dalam atau di
luar Malaysia selain tiga pengecualian yang disebut, ini adalah suatu yang sungguh memeriahkan
aktiviti para pelajar.
Saya melihat pelajar mempunyai ribuan pilihan untuk terlibat dalam aktiviti masyarakat,
keagamaan, ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan, bahasa, kesukarelaan, kebajikan, sains,
sastera, hubungan kaum integrasi negeri dan negara. Sebut sahaja yang baik, maka seribu satu
macam horizon akan terbuka.
Sudut pandang pelajar akan berubah kepada lebih positif, proaktif dan inovatif yang akan
membawa kepada anjakan paradigma bagi mengangkasakan pendidikan tinggi negara. Saya dengan
ini menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Sila Yang
Berhormat Permatang Pauh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih dan saya
sambut baik hasrat Menteri Pendidikan Tinggi dan kementerian mengemukakan pindaan ini yang
saya kira wajar diberikan pertimbangan. Saya sambut baik kerana sekurang-kurangnya Kementerian
Pendidikan Tinggi menerima teguran, kebimbangan mengenai kemerosotan mutu pendidikan negara
yang tentunya akan menjejaskan kedudukan ekonomi dan kemaslahatan rakyat umumnya.
Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 1983 Amerika Syarikat melahirkan kebimbangan tentang
kemerosotan mutu pendidikan di sana. Ini agak aneh kerana seperti yang disebut oleh Yang
Berhormat Pontian, kebanyakan universiti yang tersenarai dan yang terbaik juga di Amerika Syarikat.
Saya ingin sebut satu, dua ayat dari laporan tersebut “A Nation At Risk” satu national
commission yang penting dan kebetulan pada masa itu saya edarkan kepada semua orang, naib
canselor di Malaysia pada ketika itu. Dengan izin, “Our nation is at risk our ones unchallenged
preeminence in commerce industry science and technological innovation is being over taken by
competitors throughout the world”.
Satu negara yang diakui dunia mempunyai tahap pencapaian ilmu dan teknologi yang tinggi,
merasakan kedudukan mereka tergugat dan terancam. Kini ternyata kejutan itu membantu
menimbulkan kesedaran di kalangan ilmuwan, sarjana, pimpinan universiti khususnya, untuk
melakukan sesuatu yang lebih baik untuk memperbaiki untuk pendidikan mereka.
Saya harap semangat yang sama ada di kalangan pimpinan universiti kita dan Menteri
Pendidikan kita. Lantaran itu saya lihat ada kesediaan membawa dan mengemukakan pindaan yang
kita bahaskan pada hari ini. Akan tetapi, sementara diakui permasalahan itu, langkah yang diambil itu
tidak nampak sepenuhnya. Masih bertahap kerana ada suatu ketakutan di kalangan pemerintah
untuk memberi kebebasan kepada tenaga akademik dan mahasiswa.
Kalau menteri itu pintar, pemerintah itu telus dan bertanggungjawab lagi berwibawa tidak
harus bimbang dengan anak-anak kita. Kita harus berdepan, berbahas dan bijak menangani masalah
ini. Jikalau kita ada hal-hal pekung busuk yang mahu kita tutup seperti rasuah, penyelewengan maka
jangan berikan kebebasan kerana kebebasan itu akan menikam kita. Namun, dengan mengehadkan
kebebasan akademik dan memilih tokoh dan sarjana dan ilmuwan yang benar-benar wibawa untuk
memimpin universiti; kita akan menggalak kemaraan universiti kita sebagai universiti dan pusat
pendidikan cemerlang.
Malaysia tidak kurang tenaga ilmuwan, sarjana yang setara dengan rantau ataupun dunia
tetapi masih janggal kerana tokoh-tokoh ini tidak dikemukakan untuk memimpin. Saya tidak
maksudkan hanya di kalangan satu kaum. Di kalangan Melayu bumiputera sendiri pun ada .
tokoh yang jauh lebih cemerlang yang disisihkan kerana bimbang keberanian mereka dan ketegasan
mereka.
Orang punyai ilmu kepetahan tetapi diminta untuk menjadi ‘pak turut’ di universiti. Mungkin
mahir menulis puisi, memuji dan memuja pemimpin salah satu ukuran menjadi naib canselor, saya
tidak tahu. Saya harap mudah-mudahan dengan minat menteri sekarang, hal ini dapat diperbaiki.
Kita tidak mahu wujudkan apa yang disebutkan oleh Czeslaw Milosz sebagai The Captive Mind. Kita
tidak kurang tenaga di kalangan Melayu, Cina, India yang boleh ditonjolkan. Satu kerugian besar
bagi negara kita kalau kita memilih untuk mengetengahkan tokoh yang tidak cukup pintar dan wibawa
memimpin puluhan ribu mahasiswa.
Di Arab Saudi, oleh kerana minat Raja Abdullah sekarang untuk mengangkat mutu
pendidikan tinggi di Arab Saudi, King Abdullah University of Science and Technology telah melantik
Prof. Shih Choon Fong, bekas Presiden National University of Singapore sebagai presiden berkuat
kuasa bulan ini. Ini adalah kerana Prof. Shih Choon Fong dianggap orang yang bertanggungjawab
membantu mengangkat taraf National University of Singapore. Saya dimaklumkan hal ini oleh
Gabenor Madinah tatkala saya diminta untuk memberikan saranan tentang gedung ilmu dan King
Abdulaziz University beberapa bulan yang lalu di Madinah.
Saya spontan menanyakan apakah tidak ada tokoh sarjana Arab atau Muslim yang boleh
diketengahkan sebagai Presiden universiti terulung kerana dari segi kos terulung di dunia Arab.
Jawapan yang diberikan itu menarik: “Kita mempunyai cukup tenaga, kita akan kejar, kita akan
pastikan mereka ini diberikan tempat tetapi belum ada yang teruji yang berjaya mengangkat
kedudukan universiti dan cabaran kami kepada Prof.Shi ialah supaya beliau membantu dalam
beberapa tahun mengangkat kedudukan universiti ini dan kami akan letakkan tokoh-tokoh Arab dan
sarjana Muslim untuk memimpin kelak.”
Saya pohon kerajaan dan rakan-rakan dalam UMNO untuk membuka minda sedikit dan tidak
terperangkap di bawah tempurung...
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta laluan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: ...Melihat ruang dan peluang yang ada
supaya kita dapat melihat tokoh yang berwibawa di kalangan Melayu dan lain untuk memimpin
universiti.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih, Yang Berhormat
Permatang Pauh dan terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebenarnya saya ingin bangun dan bertanya
lebih awal tadi apabila Yang Berhormat Permatang Pauh menyebut soal apa yang berlaku di Amerika
Syarikat, a nation at risk tetapi saya tidak mahu menyampuk begitu awal kerana hendak memberi
peluang kepada Yang Berhormat Permatang Pauh bercakap dengan flow yang licin dan lancar dan
tidak mahu dituduh saya tidak sabar untuk menanyakan soalan.
Jadi, sekarang ini oleh kerana sudah banyak dipercakapkan saya ingin minta penjelasan dan
mungkin juga Yang Berhormat Permatang Pauh dapat juga penjelasan daripada saya, daripada apa yang saya hendak beritahukan ini. A Nation at risk United State pada ketika itu dalam tahun 1980-an bukan disebabkan kerana universitinya yang tidak memainkan peranan. Kekalahan Amerika, business Amerika pada waktu itu dari segi innovation dan juga technological discoveries untuk menjadikan mereka lebih kompetitif dalam masyarakat antarabangsa adalah disebabkan kedegilan kapten-kapten industrinya, businessmennya yang tidak mahu melakukan perubahan yang boleh menyaingi Jepun dan juga negara-negara lain yang cepat memintas mereka. Umpamanya dalam bidang automatif, Amerika berdegil dengan mengeluarkan kereta-kereta yang besar. Manakala Jepun, mereka inovatif mengeluarkan kereta-kereta yang lebih kecil, lebih economical dan appealing kepada masyarakat Jadi, bukanlah faktor universiti sebenarnya tetapi adalah businessmen, kapten industri yang gagal sebenarnya. Ini yang saya dapat tahulah. Jadi, saya harap mungkin kita boleh berkongsi maklumat dalam hal ini sama ada saya yang betul atau Yang Berhormat dapat menjelaskan lebih lagi. Terima kasih.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, Yang Berhormat Pasir Salak.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebenarnya Yang Berhormat Pasir Salak itu membaca laporan
yang lain. Saya merujuk kepada a Nation at Risk yang khusus mengenai pendidikan tinggi di
Amerika Syarikat. Dalam report itu ditekankan bahawa di antaranya ialah menjamin mutu pendidikan:
“By virtue their efforts competently guided and can hope to attain the mature and informed judgment
needed to secure gainful employment and to manage their own lives, thereby serving not only their
own interest but also the progress of society itself.”
Ini merujuk khusus kepada mutu pendidikan tinggi Amerika Syarikat special commission yang
di set up oleh Presiden Reagen pada tahun 80-an. Yang disebut oleh Yang Berhormat itu memang
tepat dari segi industri yang pada masa itu mengalami kekalahan dengan Jepun dan lain-lain. Akan
tetapi merujuk kepada isu yang sama sekarang ini negara-negara lain mengambil alih. Umpamanya
India, bila Kerajaan India merasakan mutu pendidikan mereka itu tidak dipacu, ditingkatkan selaju
yang dikehendaki maka pemerintahan India bersetuju menubuhkan Indian Institute of Technology
dalam bidang tersebut IIT sekarang di Bangalore.
Dalam masa yang singkat, IIT di Bangalore telah mencatat satu kejayaan yang luar biasa dan
dianggap di antara 10 hingga 15 yang terbaik di dunia. University of Beijing, dengan seluruh
kekangan yang ada di negara China tetapi apabila melihat kepada keperluan negara China
mengangkat kedudukan mereka, kebebasan akademik dan mahasiswa Universiti Beijing itu luar
biasa. University of Singapore, jiran kita, sekarang ini diiktiraf sebagai di antara universiti yang
terkemuka di rantau.
Saya sengaja menyebut perkara ini kerana nampaknya ada hasrat dan minat dari
kementerian untuk menangani masalah ini. Untuk menangani masalah ini memerlukan suatu political
will dan satu courage (keberanian) untuk memperbaiki kelemahan. Akan tetapi kalau kita buat
perubahan-perubahan kecil saya bimbang maksud pindaan ini tidak tercapai.
DR. 11.12.2008
32
Bank Dunia pada tahun 2007 menerbitkan laporan berjudul “Malaysia and The Knowledge
Economy Building A World Class Higher Education System”
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ada yang bangun
lagi, Yang Berhormat. Yang Berhormat Rembau.
Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih, Ketua Pembangkang. Saya
tertarik tadi dengan contoh yang diberi oleh Yang Berhormat Ketua Pembangkang tentang University
of Beijing dengan National University of Singapore.
Saya hendak tanya apakah pendapat dan pandangan Yang Berhormat Ketua Pembangkang
apakah sebab punca kecemerlangan universiti-universiti tersebut memandangkan di negara-negara
Singapura dan China, kita semua ketahui bahawa kebebasan yang diberi untuk pelajar-pelajar,
contohnya bergiat dalam politik amat terbatas. Mereka tidak boleh menyertai mana-mana pertubuhan
atau pun persatuan yang mirip kepada politik mahupun menjadi ahli kepada mana-mana parti politik
di Singapura dan di China. Jadi, saya hendak minta pendapat Yang Berhormat Ketua Pembangkang,
apakah punca lain yang menyebabkan universiti-universiti di negara-negara yang tidak mengamalkan
demokrasi liberal ini menjadi cemerlang. Terima kasih.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang
Berhormat Rembau. Saya rasa langkah pertama yang dilakukan oleh negara-negara ialah
mengangkat tokoh-tokoh akademik dan ilmuwan paling wibawa untuk memimpin universiti
berkenaan. Melantik profesor, dekan berdasarkan kelayakan, bukan kemampuan untuk mengampu
dan ciri itu cukup stringent. Kebetulannya di kedua-dua universiti termasuk di Banglore, saya sendiri
telah diundang untuk menyampaikan pandangan, berucap dan berbincang dengan tenaga akademik.
Saya memang kagum melihat academic credential mereka. Saya boleh sebutkan dengan izin,
impeccable academic credential, maknanya pertimbangan itu yang diberikan.
Salah seorang pemimpin di Universiti Beijing yang menghairankan saya itu tidak dari
kalangan yang corak dan mirip fahaman politik itu selari sangat dari negara China. Dia diambil dari
luar yang agak berpandangan sedikit liberal tetapi diterima oleh kepimpinan negara China.
Begitu juga di Singapura. Di Singapura walaupun tidak ada kebebasan seperti mana yang
kita harapkan untuk mahasiswa, tetapi pimpinan universiti masih yang terbaik. Sebab itu King
Abdullah bersetuju mengambil Profesor Shi untuk memimpin Universiti di Arab Saudi. Keduanya,
tahap akademik profesor itu tidak dikompromi sedikit pun. Syarat-syaratnya ketat dan ketiganya
mahasiswa walaupun tidak boleh aktif dalam politik di luar, diberikan kebebasan penuh untuk
mengadakan apa juga perbincangan, seminar dan perbahasan mengenai politik dalam atau luar
negara. Asalkan di dalam lingkungan universiti. Jadi dibandingkan kebebasan universiti di Singapore
dengan universiti tempatan kita jauh bezanya. Mungkin Menteri Pendidikan Tinggi patut buat
kunjungan ke sana untuk berbincang...